Isnin, 24 Mei 2010

Keluarga Bahagia.


Assalamualaikum W.B.T,
Indahnya saat-saat selepas minggu peperiksaan, tiada tekanan, tiada kegusaran, yang ada hanyalah keseronokan yang tidak berpanjangan, hahaha...ya, keseronokan ini bukanlah selamanya, ia pasti akan berakhir jua, namun, itulah tanggungjawab saya, kesibukan itulah keseronokan bagi saya, tekanan dalam berorganisasi jualah kerinduan buat saya, jadi saya akan gunakan masa yang 'selesa' ini untuk saya penuhkan blog saya untuk tatapan pembaca budiman. Sudah agak lama saya tidak meng'update'kan blog ini dek kerana sibuk dengan persediaan untuk peperiksaan. Saya rasa begitu bersalah kepada pembaca setia blog saya kerana tidak mampu menghidangkan karya secara konsisten..maafkan saya.


Sengaja kali ini saya meng'upload'kan gambar keluarga saya, gambar ini ditangkap ketika di majlis perkahwinan kakak saya pada 2 tahun yang lalu. Entah mengapa tiba-tiba kerinduan saya pada mereka begitu melonjak naik, mungkin kerana sudah lama kami tidak meluangkan masa bersama dek terlalu sibuk dengan urusan harian masing-masing. Saya rindukan saat bersama mereka, terngiang-ngiang suara si kakak, abang dan adik ketawa, terbayang juga wajah manis ayah dan ibu tika tersenyum, ah...rindunya saya pada mereka.





Insan pertama yang ingin saya kenalkan ialah ibu saya, Eshah binti Ibrahim, seorang yang amat penyayang dan peramah. Suri rumah yang terbaik dan kini menjadi peniaga 'aiskrim malaysia' yang terkemuka. Berbagai jenis aiskrim yang ibu saya jual seperti 'asam boi', 'laici', 'sirap' dan sebagainya, kalau anda ingin merasa aiskrim-aiskrim ini, silalah ke rumah saya di Kuala Lumpur untuk mencubanya, ia hanya 20 sen setiap unit, dan motto bagi perniagaan ibu saya ialah "boleh dimakan begitu sahaja". Beliau juga seorang yang mahir dalam bidang masakan, sebut saja segala jenis masakan tentu ibu saya tahu. Dan antara masakan yang paling saya gemari ialah 'sambal sotong' dan 'ikan sumbat'.


Seterusnya insan kedua yang menjadi inspirasi saya dalam menuntut ilmu dan berpolitik ialah ayah saya. Ahmad Sakri bin Jaapar, seorang ayah yang terbaik buat saya. Beliau sangat menyokong saya dalam segala perkara, beliau juga menyokong parti politik yang sama dengan saya. Ibu saya pernah berkata, bahawa sayalah 'klon' dari ayah, ia bermaksud saya memiliki lebih 60 peratus dari sifat-sifat ayah, antaranya ialah, baik hati, panas baran, comel, terburu-buru bila inginkan sesuatu perkara, kuat makan dan sebagainya. Dan yang paling menarik ialah gaya saya dan ayah ketika makan juga turut dikatakan sama dan serupa.



Insan ketiga ialah kakak saya, Sri Fadjarwati. Mungkin ramai yang agak hairan dengan nama beliau, namun, itu adalah hasil nurkilan ayah saya, mungkin dek kerana nama itulah wajah beliau lebih cerah dan berseri berbanding wajah kami adik-adiknya. Namun yang pastinya, saya tetap lebih comel berbanding beliau. Beliau kini sudah pon berkahwin bersama suaminya yang kini tinggal di Terengganu, walaupon beliau tinggal agak jauh dari ayah dan ibu, beliau kerap kali pulang menziarahi mereka di Kuala Lumpur. Beliau juga banyak menasihati saya dalam setiap langkah kehidupan saya.




Keempat ialah abang saya, merupakan anak kedua dan anak lelaki sulung dalam keluarga saya. Ruzaini Afiq. Kegemaran beliau ialah memancing dan bermain futsal. Beliau masih bujang dan sedang mencari pasangan hidup untuk dijadikan isteri, dan kepada pembaca-pembaca blog (perempuan sahaja) yang ingin menjadi 'kakak ipar' saya, mungkin andalah yang dicari. Bolehlah menghubungi saya ditalian tetap yang akan diberitahu kelak. Kini beliau menetap di Damansara dan bekerja disana.




Dan yang terakhir ialah adik saya, Faizul Aizat. Walaupon nama saya dan beliau hampir serupa, namun kami tidaklah begitu baik ketika waktu kecil. Saya sering membuli adik saya kerana saya memang gemar membuli beliau. Oleh kerana beliaulah satu-satunya adik saya, jadi saya tiada pilihan untuk membuli orang lain selain beliau. Namun itu ketika kami masih kecil, pada saat ini saya sudah tidak membuli beliau lagi, kerana kini beliau merupakan orang yang paling tinggi di dalam keluarga kami. Bukan bererti saya takut ingin membuli beliau, tapi kerana saya sudah menjadi kecil dari beliau, dan saya khuatir jika saya pula yang akan dibuli oleh beliau. Oleh itu, saya mengambil sikap berdamai dengannya.

Jadi, inilah keluarga saya...keluarga yang paling saya sayangi dan cintai. InsyaALLAH pada hujung tahun ini kami akan melangsungkan sesi melancong di langkawi ( bukan melangsungkan perkahwinan ya ) saya berharap ia akan berjalan seperti yang dirancang. Amin.

Selasa, 11 Mei 2010

Ingin berkongsi bersama anda.

Selepas saya membeli buku 101 Adab Dan Petua Kecemerlangan Pelajar, dengan segera saya buka dan baca, kemudian saya terfikir sejenak, apalah gunanya jika buku ini saya baca seorang diri tanpa berkongsi bersama pembaca setia blog saya ini. Semoga segala perkongsian di ruangan ini akan memberi manfaat pembaca budiman dan diri saya sendiri insyaALLAH.


Ciri-ciri menjadi insan positif :

1 ) Ikhlas

Tanyalah diri anda sendiri dan periksa niat selalu. Jika seorang pelajar berniat untuk memperolehi keredaan ALLAH Subhanahu wa Taala, dan dalam proses pembelajaran itu kita menjaga segala perbuatan dan tindakan agar ia menepati kehendak agama, segala usaha akan mendapat ganjaran.


2 ) Takwa

Erti Takwa ialah : Hendaklah mentaati ALLAH, tanpa melakukan maksiat padaNYA, mengingati ALLAH sentiasa tanpa dilupa, disyukuri dan tidak diingkari.


3 ) Ada Matlamat

Meletakkan matlamat atau mengejar cita-cita yang diidamkan akan menyebabkan seseorang itu mempertingkatkan usahanya.


4 ) Beramal Dengan Ilmu Yang Dipelajari

" Yakinlah wahai anakku, ilmu yang tidak disertai amalan tidak akan melepaskan seseorang itu dari neraka, sekalipun anda telah membaca ilmu itu 100 kali dan anda telah menghimpunkan 1000 buah kitab. Anda belum lagi beroleh rahmat ALLAH melainkan dengan peramal "

( petikan dari buku AYYUHAL WALAD )


5 ) Mentaati Ibu Bapa Dalam Perkara Kebaikan

Lakukanlah kebaikan kepada mereka dengan mengasihi dan menghormati mereka atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala.


6 ) Menghormati Guru Dan Menunjukkan Minat Terhadap Pelajaran

Guru mengajar dan menyampaikan kepada kita ilmu pengetahuan yang berfaedah dan bermanfaat untuk kehidupan masa hadapan kita. Oleh itu, WAJIB hormati dan patuhi tunjuk ajar dan nasihat guru dengan bersungguh-sungguh.


7 ) Menjaga Solat

Solat adalah tiang agama. Seorang yang bersolat dengan ikhlas dan kusyuk apabila masuk waktunya dan memberati segala rukun-rukunnya termasuk sunat-sunatnya, maka dia seorang mukmin.


8 ) Konsisten Dalam Usaha Yang Dilakukan Tanpa Berputus Asa

Kita mesti mencurahkan "EFFORT" sebelum mendapat hasil "HARVEST".


9 ) Mengamalkan Al-Amru Bil Ma'ruf Wan Nahyu 'Anil Munkar

Tugas menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat tidak boleh diabaikan sama sekali, mengikut kemampuan masing-masing untuk melakukannya. Sesiapa yang mengabaikannya dianggap sebagai orang yang memandang ringan terhadap HAK-HAK ALLAH Subhanahu wa Ta'ala dan dicap sebagai orang yang lemah imannya.


10 ) Menjaga Kesihatan Tubuh Badan

Menurut Hadis Nabi, amalan riadah yang Nabi gemar lakukan ialah berenang, memanah dan menunggang kuda.

Rabu, 7 April 2010

aku mesti...

Aku mesti kaya ilmu,
macam padi kaya berasnya,
umpama laut kaya hasilnya,
padi manfaatnya pada si petani,
laut budinya pada si nelayan,
aku berjasa pada saudara.

Aku mesti jadi anak solehah,
bilamana aku mula berdoa,
jadi jariah pada ibu bapaku,
syurga pada mereka pintaku,
setimpal budi mereka padaku.

Aku mesti jadi hamba sabar,
semua kurniaan Sang Kekasihku,
manakan boleh hatiku mengeluh,
kelak pasti sabarku menggunung,
pasti sabarku dihitung.

Aku mesti jadi da'ie hebat,
bilamana aku mula berkata,
seluruh jiwaku turut merasa,
terjemahan cintaku padaNYA,
bilamana kalamku mula menari,
selamanya segar nurkilanku,
kerana Islam harum martabatku.

aku mesti jadi pejuang,
matiku juga sebagai pejuang,
kerana inilah pelaburanku.
ini jugalah perniagaanku,
untuk ayah, ibu dan saudaraku,
moga istiqamah aku di jalan itu,
janji syurga, itu tempatku...
insyaALLAH.

erika oh erika

assalamualaikum,

saya berjumpa dengan erika di sebuah pasar malam di kawasan Talang, saya ajak erika tumpang motor saya, saya bawa motor berhati-hati takut erika tak biasa naik motor. Di jalan raya banyak lubang-lubang, saya bawa motor perlahan-lahan, saya tanya erika ok atau tidak, erika cuma diam..."ah, dia segan barangkali", bisik hati saya. Sekejap-sekejap saya berhenti di tepi jalan, takut erika mabuk atas motor, erika masih diam. Mungkin erika tidak biasa dengan saya lagi, mungkin juga erika perlukan masa untuk berkawan dengan saya.

Saya lihat meter di motor saya, saya perlu isi minyak kerana esok saya mahu ke kelas, saya berhenti di stesen petronas untuk isi minyak, saya isi minyak tergesa-gesa sebab saya takut erika tak selesa dengan bau minyak petrol. saya tengok erika masih diam...saya harap erika ok. saya tidak mahu erika sakit sebab saya. saya teruskan perjalanan bersama erika, tidak pernah saya bawa motor kesayangan saya seperlahan ini, semuanya kerana erika, saya senyum sendirian.

Sesampai sahaja saya dan erika di rumah, saya kenalkan erika dengan kawan serumah saya, mereka kata erika cantik, kulit erika biru + ungu + hijau, saya tersenyum bangga kerana jadi kawan erika, saya bawa erika masuk rumah, saya masukkan erika dalam bekas cantik, erika yang cantik duduk dalam bekas yang cantik...saya tersenyum puas...berbaloi rasanya saya membeli erika di pasar malam tadi, erika...ikan yang cantik...:-)

( nantikan gambar erika posing ya )

Rabu, 3 Mac 2010

muslimah dan gambar

assalamualaikum

saya tertarik dengan sebuah artikel dalam sebuah blog "khabar dari urdun" yang saya baca ketika sibuk mencari bahan untuk pemplet salam maulidul rasul tempoh hari, jadi saya mengcopypastekan artikel tersebut di blog saya untuk tatapan pembaca budiman..terutama muslimah yang saya kasihi, bila saya membacanya berulang2 kali, barulah saya tersedar dan terus membuang semua gambar2 saya di facebook...hujah yang bernas telah menyedarkan saya...

ikuti artikel ini muslimah...

Muqaddimah

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,

Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan." Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku.

Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda....Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja. Wallahu A'lam.

Peringatan juga buat diriku yang sering lupa...

Khamis, 11 Februari 2010

respon dan responsibility

salam perjuangan...

terima kasih saya rakamkan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa membaca catatan saya dari semasa ke semasa, terima kasih kepada rakan-rakan yang berani tampil berdialog tempoh hari, hingga saya tak diberi peluang untuk bangkit dek kerana semua isu-isu telah di sentuh oleh wira-wira kampus...jazakallah.

dan sebelum itu saya memohon maaf kepada mana-mana rakan taulan yang mungkin terasa hati tika membaca post2 saya sebelum ini, saya inginkan perubahan ke arah positif di dalam kampus kesayangan saya, saya mahu berusaha menjadi "watch dog" kepada rakan-rakan kampus supaya dapat dilakukan "renovation" yang lebih matang. walaupun adakalanya niat saya itu dipandang keji...saya rela dibenci.

mungkin ada yang tersalah anggap niat hati saya ini, hingga menyangka tujuan kritikan demi kritikan yang saya lakukan adalah untuk menjatuhkan pihak tertentu, maaf...saya tiada masa untuk lakukan itu semua. tujuan kritikan saya tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk kebaikan kita bersama.

percayalah...blog ini saya gunakan sebagai medan dakwah bagi saya, untuk tatapan saya, dan rakan-rakan sekampus saya. sumber-sumber maklumat yang saya dapat bukan bohong, bukan rekaan...tetapi kenyataan, kita harus terima segala kelemahan dalam setiap apa yang kita lakukan, saya juga pernah dikritik hebat...hingga tidak mampu untuk saya berdiri teguh, tapi yakinlah, itu semua pengalaman yang tidak akan dapat di mana-mana.

sahabat budiman, saya hanya manusia biasa, adakala saya tersasar jauh, betulkan saya...dengan cara apa sekalipun saya cuba untuk terima, apa yang saya harapkan tajdid niat kita, alihkan tujuan dalam menganjurkan apa-apa jenis program hanyalah semata-mata kerana ALLAH. bukan kerana mahu berbangga menjadi organisasi yang terbanyak menjalankan program, yang saya mahukan adalah kualiti dan bukan kuantiti, dan saya mohon ampun sekali lagi jika ada kalimah dari insan lemah ini yang mengguris hati dan perasaan sahabat budiman, saya hargai respon anda...dan saya terasa ini sebagai responsibility untuk saya memohon maaf.

akhir kalam...saya masih disini akan terus memerhati, akan terus berlapang dada untuk menerima segala kritikan, walau dalam segala jenis bahasa sekalipun...saya tetap terima. dan saya mohon jangan putus-putus berikan pendapat dan pandangan untuk saya renovate perkataan saya agar ia menjadi lebih menyenangkan..semoga kita dapat lakukan yang terbaik dalam final yang bakal tiba tidak lama lagi.

salam ukhuwah dari saya...

Isnin, 8 Februari 2010

saat yang dinanti-nantikan

"Perhatian kepada siswa/siswi kolej islam darul ridzuan, pada hari rabu bersamaan 10/2/2010 akan diadakan majlis permasyhuran MPP sesi 2010/2011 dan juga perjumpaan bersama Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, justeru itu semua pelajar diwajibkan hadir, sekian terima kasih".

Selesai pengumuman ringkas itu saya dan sahabat saya saling berpandangan, kami tersenyum bersama-sama. Mungkin ini saat yang di nanti-nantikan oleh rakan-rakan saya..bukan majlis permasyhuran MPP yang menjadi idaman kalbu, tetapi perjumpaan bersama rektor merupakan saat yang paling manis bagi mereka.

Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan berlaku pada hari tersebut, baca saja di blog bumi perak saya merasakan ada bahang panas yang membara-bara. Bersemangat benar mereka bersumpah seranah di dalam blog tersebut, saya pon tidak melepaskan peluang untuk membaca dan menyelami hati rakan-rakan saya yang diluahkan di dalam blog tersebut.

Berpakaian Hitam

Saya juga terbaca beberapa post yang menyuruh berpakaian hitam pada hari tersebut, tujuannya adalah untuk menunjukkan protes kepada pihak pentadbiran kolej. Ahh...malangnya saya tidak memiliki pakaian serba hitam, mahu saja saya ke ipoh sekarang untuk membeli pakaian, namun memikirkan masa yang begitu suntuk dan kekangan kewangan saya kuburkan saja niat berpakaian hitam itu. namun, saya akan berusaha sedaya mungkin untuk berpakaian hitam pada hari itu, tunggu saja kelibat saya nanti.

Dan kepada rakan-rakan saya, mari kita tunjukkan komitmen kita dalam pertemuan ini, namun saya tidak menyuruh rakan-rakan berpakaian serba hitam bagi membuktikan protes anda. Pakailah warna apa sekalipun, asalkan rakan-rakan berani bangun menyatakan hak mahasiswa di hadapan rektor nanti. Jangan hanya berani menyarungkan pakaian hitam berkilat, namun hati menikus bila disuruh bangkit kelak.

esok....

Esok juga kita akan mengetahui siapakah yang menjadi MB yang sah di negeri kesayangan kita ini. semoga keadilan akan terpancar dengan doa rakyat negeri perak, sudah masuk 7 tahun saya bermastautin di negeri ini, di bumi inilah tempat saya menimba ilmu, jatuh bangun sebagai si penuntut ilmu...saya juga sayangkan negeri ini sepertimana anda sayangkan negeri ini.

Saya percaya...rakan-rakan saya turut merasakan perasaan yang sama...apatah lagi ini negeri kelahiran mereka, tanah tumpah darah mereka...sudah tentu kasih sayang rakan-rakan lebih berganda dari saya, insyaALLAH, kemengangan di pihak yang benar...amin.