Isnin, 24 Mei 2010

Keluarga Bahagia.


Assalamualaikum W.B.T,
Indahnya saat-saat selepas minggu peperiksaan, tiada tekanan, tiada kegusaran, yang ada hanyalah keseronokan yang tidak berpanjangan, hahaha...ya, keseronokan ini bukanlah selamanya, ia pasti akan berakhir jua, namun, itulah tanggungjawab saya, kesibukan itulah keseronokan bagi saya, tekanan dalam berorganisasi jualah kerinduan buat saya, jadi saya akan gunakan masa yang 'selesa' ini untuk saya penuhkan blog saya untuk tatapan pembaca budiman. Sudah agak lama saya tidak meng'update'kan blog ini dek kerana sibuk dengan persediaan untuk peperiksaan. Saya rasa begitu bersalah kepada pembaca setia blog saya kerana tidak mampu menghidangkan karya secara konsisten..maafkan saya.


Sengaja kali ini saya meng'upload'kan gambar keluarga saya, gambar ini ditangkap ketika di majlis perkahwinan kakak saya pada 2 tahun yang lalu. Entah mengapa tiba-tiba kerinduan saya pada mereka begitu melonjak naik, mungkin kerana sudah lama kami tidak meluangkan masa bersama dek terlalu sibuk dengan urusan harian masing-masing. Saya rindukan saat bersama mereka, terngiang-ngiang suara si kakak, abang dan adik ketawa, terbayang juga wajah manis ayah dan ibu tika tersenyum, ah...rindunya saya pada mereka.





Insan pertama yang ingin saya kenalkan ialah ibu saya, Eshah binti Ibrahim, seorang yang amat penyayang dan peramah. Suri rumah yang terbaik dan kini menjadi peniaga 'aiskrim malaysia' yang terkemuka. Berbagai jenis aiskrim yang ibu saya jual seperti 'asam boi', 'laici', 'sirap' dan sebagainya, kalau anda ingin merasa aiskrim-aiskrim ini, silalah ke rumah saya di Kuala Lumpur untuk mencubanya, ia hanya 20 sen setiap unit, dan motto bagi perniagaan ibu saya ialah "boleh dimakan begitu sahaja". Beliau juga seorang yang mahir dalam bidang masakan, sebut saja segala jenis masakan tentu ibu saya tahu. Dan antara masakan yang paling saya gemari ialah 'sambal sotong' dan 'ikan sumbat'.


Seterusnya insan kedua yang menjadi inspirasi saya dalam menuntut ilmu dan berpolitik ialah ayah saya. Ahmad Sakri bin Jaapar, seorang ayah yang terbaik buat saya. Beliau sangat menyokong saya dalam segala perkara, beliau juga menyokong parti politik yang sama dengan saya. Ibu saya pernah berkata, bahawa sayalah 'klon' dari ayah, ia bermaksud saya memiliki lebih 60 peratus dari sifat-sifat ayah, antaranya ialah, baik hati, panas baran, comel, terburu-buru bila inginkan sesuatu perkara, kuat makan dan sebagainya. Dan yang paling menarik ialah gaya saya dan ayah ketika makan juga turut dikatakan sama dan serupa.



Insan ketiga ialah kakak saya, Sri Fadjarwati. Mungkin ramai yang agak hairan dengan nama beliau, namun, itu adalah hasil nurkilan ayah saya, mungkin dek kerana nama itulah wajah beliau lebih cerah dan berseri berbanding wajah kami adik-adiknya. Namun yang pastinya, saya tetap lebih comel berbanding beliau. Beliau kini sudah pon berkahwin bersama suaminya yang kini tinggal di Terengganu, walaupon beliau tinggal agak jauh dari ayah dan ibu, beliau kerap kali pulang menziarahi mereka di Kuala Lumpur. Beliau juga banyak menasihati saya dalam setiap langkah kehidupan saya.




Keempat ialah abang saya, merupakan anak kedua dan anak lelaki sulung dalam keluarga saya. Ruzaini Afiq. Kegemaran beliau ialah memancing dan bermain futsal. Beliau masih bujang dan sedang mencari pasangan hidup untuk dijadikan isteri, dan kepada pembaca-pembaca blog (perempuan sahaja) yang ingin menjadi 'kakak ipar' saya, mungkin andalah yang dicari. Bolehlah menghubungi saya ditalian tetap yang akan diberitahu kelak. Kini beliau menetap di Damansara dan bekerja disana.




Dan yang terakhir ialah adik saya, Faizul Aizat. Walaupon nama saya dan beliau hampir serupa, namun kami tidaklah begitu baik ketika waktu kecil. Saya sering membuli adik saya kerana saya memang gemar membuli beliau. Oleh kerana beliaulah satu-satunya adik saya, jadi saya tiada pilihan untuk membuli orang lain selain beliau. Namun itu ketika kami masih kecil, pada saat ini saya sudah tidak membuli beliau lagi, kerana kini beliau merupakan orang yang paling tinggi di dalam keluarga kami. Bukan bererti saya takut ingin membuli beliau, tapi kerana saya sudah menjadi kecil dari beliau, dan saya khuatir jika saya pula yang akan dibuli oleh beliau. Oleh itu, saya mengambil sikap berdamai dengannya.

Jadi, inilah keluarga saya...keluarga yang paling saya sayangi dan cintai. InsyaALLAH pada hujung tahun ini kami akan melangsungkan sesi melancong di langkawi ( bukan melangsungkan perkahwinan ya ) saya berharap ia akan berjalan seperti yang dirancang. Amin.