Selasa, 11 Mei 2010

Ingin berkongsi bersama anda.

Selepas saya membeli buku 101 Adab Dan Petua Kecemerlangan Pelajar, dengan segera saya buka dan baca, kemudian saya terfikir sejenak, apalah gunanya jika buku ini saya baca seorang diri tanpa berkongsi bersama pembaca setia blog saya ini. Semoga segala perkongsian di ruangan ini akan memberi manfaat pembaca budiman dan diri saya sendiri insyaALLAH.


Ciri-ciri menjadi insan positif :

1 ) Ikhlas

Tanyalah diri anda sendiri dan periksa niat selalu. Jika seorang pelajar berniat untuk memperolehi keredaan ALLAH Subhanahu wa Taala, dan dalam proses pembelajaran itu kita menjaga segala perbuatan dan tindakan agar ia menepati kehendak agama, segala usaha akan mendapat ganjaran.


2 ) Takwa

Erti Takwa ialah : Hendaklah mentaati ALLAH, tanpa melakukan maksiat padaNYA, mengingati ALLAH sentiasa tanpa dilupa, disyukuri dan tidak diingkari.


3 ) Ada Matlamat

Meletakkan matlamat atau mengejar cita-cita yang diidamkan akan menyebabkan seseorang itu mempertingkatkan usahanya.


4 ) Beramal Dengan Ilmu Yang Dipelajari

" Yakinlah wahai anakku, ilmu yang tidak disertai amalan tidak akan melepaskan seseorang itu dari neraka, sekalipun anda telah membaca ilmu itu 100 kali dan anda telah menghimpunkan 1000 buah kitab. Anda belum lagi beroleh rahmat ALLAH melainkan dengan peramal "

( petikan dari buku AYYUHAL WALAD )


5 ) Mentaati Ibu Bapa Dalam Perkara Kebaikan

Lakukanlah kebaikan kepada mereka dengan mengasihi dan menghormati mereka atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala.


6 ) Menghormati Guru Dan Menunjukkan Minat Terhadap Pelajaran

Guru mengajar dan menyampaikan kepada kita ilmu pengetahuan yang berfaedah dan bermanfaat untuk kehidupan masa hadapan kita. Oleh itu, WAJIB hormati dan patuhi tunjuk ajar dan nasihat guru dengan bersungguh-sungguh.


7 ) Menjaga Solat

Solat adalah tiang agama. Seorang yang bersolat dengan ikhlas dan kusyuk apabila masuk waktunya dan memberati segala rukun-rukunnya termasuk sunat-sunatnya, maka dia seorang mukmin.


8 ) Konsisten Dalam Usaha Yang Dilakukan Tanpa Berputus Asa

Kita mesti mencurahkan "EFFORT" sebelum mendapat hasil "HARVEST".


9 ) Mengamalkan Al-Amru Bil Ma'ruf Wan Nahyu 'Anil Munkar

Tugas menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat tidak boleh diabaikan sama sekali, mengikut kemampuan masing-masing untuk melakukannya. Sesiapa yang mengabaikannya dianggap sebagai orang yang memandang ringan terhadap HAK-HAK ALLAH Subhanahu wa Ta'ala dan dicap sebagai orang yang lemah imannya.


10 ) Menjaga Kesihatan Tubuh Badan

Menurut Hadis Nabi, amalan riadah yang Nabi gemar lakukan ialah berenang, memanah dan menunggang kuda.